JomPAY dilancar

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) melihat masih banyak potensi yang boleh diterokai bagi kecekapan dan penjimatan kos dalam kalangan syarikat melalui penggabungan dan pengembangan dalam pasaran pembayaran bil atas talian di negara ini.

Timbalan Gabenornya, Datuk Muhammad Ibrahim berkata situasi itu disebabkan Malaysia memiliki model pembayaran atas talian yang memerlukan peniaga mengekalkan pelbagai hubungan perbankan untuk menerima bil pembayaran daripada pelanggan yang melakukan pembayaran melalui bank berbeza.

“Peniaga terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapati perkara itu amat sukar dan mahal bagi dilakukan dengan hanya terdapat kira-kira 1,000 peniaga saja yang mendaftar untuk menerima pembayaran bil atas talian melalui sistem pembayaran bil milik individu,” katanya pada ucaptama bersempena pelancaran Skim Pembayaran Bil Kebangsaan - JomPAY, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan urusan pembayaran bil di Malaysia masih dilakukan secara tunai dan cek meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk memudahkan penerimaan kad pembayaran dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Pembayaran bil yang dilakukan melalui saluran elektronik di negara ini masih rendah iaitu 2.4 transaksi per kapita pada tahun lalu berbanding 10 transaksi per kapita daripada negara yang dilihat berjaya membangunkan platform pembayaran bil elektronik seperti Australia,” katanya.

Untuk mengatasi masalah terbabit, BNM melalui anak syarikatnya iaitu Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear) memperkenalkan platform pembayaran bil elektronik terbuka dikenali JomPAY untuk memperbaiki kekangan itu dengan memanfaatkan rangkaian dan kemudahan daripada keseluruhan industri perbankan di Malaysia.


Source : Harian Metro / 10 April 2015