JomPay mudahkan


KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalin kerjasama dengan Ambank (M) Berhad (AmBank) sebagai satu lagi usaha memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman melalui sistem JomPAY.

Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff berkata, ‘JomPAY’ merupakan satu lagi saluran bayaran balik melalui dalam talian (online) yang mudah, cepat dan selamat yang disediakan untuk kemudahan peminjam selain melalui perbankan internet, fpx dan mypay.

JomPay merupakan saluran e-pembayaran melibatkan keseluruhan bank-bank utama di Malaysia yang memberikan kemudahan berganda kepada peminjam yang dikendalikan oleh Malaysian Electronic Clearing Sdn Bhd (MyClear).

Menurut Wan Ahmad usaha tersebut merupakan kerjasama memoden platform pembayaran PTPTN di mana setiap transaksi yang dilalukan melalui JomPAY adalah secara percuma tanpa sebarang caj.

“Usaha dan strategi ini diharap memberi kesedaran dan galakan tinggi kepada peminjam untuk memula atau meneruskan bayaran balik secara konsisten demi memastikan generasi akan datang turut merasai kemudahan pinjaman PTPTN,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis menandatangani perjanjian dagangan JomPAY antara AmBank (M) Berhad dan PTPTN ni Bagunan Ambank Group di sini semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir; dan Ketua Pegawai Operasi MyClear, Tay Gim Son.

Wan Ahmad berkata, melalui kerjasama tersebut kira-kira 1.9 juta peminjam PTPTN yang patut membuat bayaran balik pinjaman akan mendapat kemudahan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Jelasnya, sehingga 31 Ogos 2016, sejumlah hampir 2.5 juta peminjam, yang melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak RM47 bilion telah menikmati kemudahan pembiayaan PTPTN.

“Pelbagai inisiatif difikirkan dan dilaksanakam dalam usaha memastikan tidak ada pelajar gagal memasuki institusi pengajian tinggi atas sebab kewangan.

Wan Ahmad berkata, Sistem pelaksanaan ‘Central Credit Reference Information System’ (CCRIS) yang dilaksanakan PTPTN ke atas peminjam bermula Jun 2015 bukan satu rekod senarai hitam ke atas peminjam sebaliknya ianya merupakan satu pendekatan yang dilaksanakan sebagai ukuran skala pembayaran ke atas peminjam.

Katanya, peminjam yang mempunyai tunggakan dan rekod buruk dalam CCRIS, kami menggalakkan mereka berunding dengan PTPTN.

“Rundingan akan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan peminjam yang mana tunggakan yang dihadapi boleh diselesaikan melalui penstrukturan semula pinjaman.

Ansuran bulanan juga boleh dikurangkan berdasarkan kemampuan kewangan pinjaman dengan pemanjangan tempoh bayaran balik,”jelasnya.

Sementara itu Sulaiman dalam ucapannya berkata, dengan kerjasama tersebut AmBank membuka peluang kepada semua peminjam PTPTN untuk memohon pembiayaan perumahan mahupun kenderaan bersama kumpulan perbankan tersebut.

“Kami mengalu-alukan peminjam memohon pembiayaan kewangan perumahan atau kenderaan dengan AmBank dengan syarat peminjam tersebut telah membuat penstrukturan pinjaman PTPTN,”katanya.


Source : Sinar Harian / 13 October 2016